Monday, February 2, 2009

Ayam, Itik dan Puyuh

Isnin, 2 Feb-Kampung Datuk Sharif. Waktu balik kampung sangat-sangat bermakna bagi emak dan abah. Masa kan tidak? Kami dilahir dan dibesarkan di kampung. Lainlah dengan orang yang dilahirkan di kampung, tetapi dibesarkan di KJ.

Inilah rutin bulanan abah. Balik jumpa tok. Itu keutamaan. Disamping tanggungjawab lain yang perlu dibereskan. Pada kali ini dapatlah abah membayar cukai pintu rumah di Temerloh Jaya.

Lepas itu, sekali lagi kami mengunjungi Pejabat Pos, setelah bulan lepas. Kali ini, lain pun ceritanya. Orang masih ramai. Hanya 2 kauter daripada 4 yang dibuka. Hampir sejam menunggu, abah pun ambillah kertas dari peti cadangan untuk buat aduan. Rupa-rupanya ada juga pelanggan turut serta nak buat aduan. Dalam pada itu hati abah tertanya-tanya juga, bilalah PR pejabat pos ini nak baca aduan kami. Abah nampak dalam peti cadangan itu dah banyak kertas.

Sebelum meneruskan perjalanan ke kampung, kami singgah dulu kat TF. Emak beli sayur, buah dan ikan. Abah pula dapatlah menambahkan koleksi batik. Kali ini warna merah. Hampir jam 2 petang kami meneruskan perjalanan.

Kami bertembung dengan tok dekat masjid. Katanya dia hendak pergi ke kedai, sebelum bermulanya kelas pengajian di Masjid. Di rumah ada Cu Na seorang tengah tengok TV. Sebentar kemudian datang Ami Lat dan Cu Bahari, dari Temerloh.

Sepanjang petang itu, kami berbual dan berbual. Macam-macam tajuk. Dari Malaysia hingga ke Palestine. Dari kisah cucu-cicit hingga ke datuk-nenek. Dari tanaman hingga ke ternakan. Riang, rancak dan kadang-kadang berbeza pendapat.

Cu Na kini sedang berternak ayam, itik dan puyuh. Hampir saja setiap jam, dia mengutip telur puyuh. Menjelang senja, mak dah dapat 21 biji untuk dibawa pulang.

Sebenarnya sejak tiba tengah hari itu, abah dah mendesak emak nak minum air kelapa. Akhirnya berjaya juga. Ami Lat lah yang memang jaguh pokok kelapa menyelamatkan keadaan. Abah minta Syafikah membeli ketul ais.

Hari Selasa, kami bertolak pulang Ke KJ. Sedih dan pilu meninggalkan kampung halaman. Sebab itulah dulu, sebelum abah bersara, abah dah beli rumah dekat TJ. Konon-konon nak balik dekat dengan kampung bila bersara. Itulah yang semua orang lain buat. Tetapi tak ada masalah sebenarnya. Selagi abah boleh balik mengujungi tok setiap bulan, abah gembira tinggal di KJ.

Dalam perjalanan pulang, abah singgah di Karak Setia, menziarahi Aki dan Wan, ayah dan emak abah. Membacakan sedikit doa yang abah tahu. Semoga mereka dicucuri rahmat Allah dan termasuk di dalam golongan orang-orang soleh dan solehah. Abah berharap anak-anak abah nanti, dapat berbuat yang serupa.

Kami bertemu Andak Basariah di situ. Sedang membersihkan tanaman serai, nenas dan pisang. Emak berbual-bual seketika, sambil-sambil memetik terung manggur untuk buat ulam. Mungkin juga sambil tumis. Sedap-p-p-p.

Kami terus pulang...

No comments: