Showing posts with label Memoir. Show all posts
Showing posts with label Memoir. Show all posts

Thursday, January 22, 2009

Dari Karak ke East Sale

Zaman Tentera. Sekitar Disember 1975. Karak semua orang tahu. Tetapi East Sale di mana? Kalau disebut perkara-perkara yang sewaktu dengannya seperti Sydney atau University of Ballarat, tentu ramai yang tahu. Di East Sale abah belajar untuk menjadi seorang Jurumalim dengan Royal Australian Air Force.

Sebelum ke East Sale, semua pelajar luar negara dimestikan buat kursus Bahasa Inggeris di Point Cook. Jadi, perjalanan abah dari Kuala Lumpur naik KTM ke Butterworth. Tidur satu malam. Dari Butterworth naik C-130 ke Darwin, Northern Territory. Tidur lagi satu malam. Dari Darwin dengan C-130 juga terus ke Point Cook, Victoria. Kira-kira 3 hari 2 malam baru sampai ke Point Cook.

Bulan Disember adalah musim panas di Australia. Mereka yang kata panas, tetapi bagi abah sejuk semacam aja. Dan hampir kesemua anggota RAAF bercuti krismas. Biasanya mereka bercuti satu bulan untuk menyambut krismas. Yang tinggal dalam base hanyalah beberapa orang yang bertugas untuk menjaga keselamatan. Sunyi sepi.

Abah datang dari Malaysia bersama seorang rakan, Norizan untuk buat kursus yang sama. Kawan abah ini seorang pegawai lelaki dari Perlis. Kami ditempatkan di Mes Pegawai. Tetapi kena pergi makan kat Mes Lain-Lain Pangkat. Di Mes tempat kami tinggal tiada tukang masak. Mereka semuanya bercuti. Dalam musim panas bulan Disember itulah kami kesejukan berulang alik untuk mencari sesuap roti. Sebabnya Mat Saleh ni jarang-jarang makan nasi.

Setelah tamat kursus Bahasa Inggeris di Point Cook barulah abah dan rakan abah pergi ke East Sale, Victoria. Dari Point Cook kami naik kereta api ke East Sale. Di stesen kereta api East Sale, seorang pegawai RAAF, kapten Dave, sudah menunggu. Kami pun saling memperkenalkan diri. Kali ini kami dah boleh sikit-sikit cakap loghat Australia. Maklumlah dah sebulan kami di perantauan.

Dave ini ada kereta sport warna kuning. Dia pun hantar kami ke Mes Pegawai dengan kereta kuningnya yang tidak berbumbung. Angin musim panas di sini masih dingin. Peliknya si dave ini berseluar pendek saja. Pakaian seragam musim panas.

Esoknya bermulalah kehidupan kami sebagai pelajar di School of Air Navigation RAAF East Sale. Kami mendaftar di dalam kursus No. 50 Navigator Course yang dikenali sehingga sekarang sebagai "The Wizards". Logo kelas kami masih tergantung di School of Air Navigation RAAF East Sale. Dalam kelas abah ada 10 orang. Dua Melayu lapan Mat Saleh.

Tetapi abah asyik teringatkan mak di kampung. Macam ada satu tekanan yang sangat-sangat berat untuk dipikul. Rupanya kawan abah ini pun sama sahaja. Dia pun sangat-sangat tertekan kerana rindukan kampung halaman. Jadi nampaknya kami sama-sama tertekan. Tetapi kesannya sangat berbeza...

Tuesday, January 20, 2009

Memoir: Membina Pengalaman


Pendahuluan Memoir. Bukan senang menulis Memoir-Kenangan. Tetapi cita-cita yang lama terpendam perlu diteruskan juga. Kerana dulu-dulu tak pernah menulis diari. Bagaimana nak mengorek balik kenangan lama. Kenangan memang banyak. Bayangkan berapa banyak kenangan yang abah simpan sejak tahun kelahiran 1951 hingga sekarang dalam tahun persaraan 2009. Jadi berpandukan ingatan yang masih ada, walaupun dah semakin tak berapa segar, abah usahkan memoir ini.

Kenangan abah ini akan dibahagikan kepada beberapa kumpulan waktu:

Pertama, Zaman Kanak-Kanak: (1951-1956).
Kedua, Zaman Sekolah Rendah: (1957-1963).
Ketiga, Zaman Sekolah Menengah: (1964-1970).
Keempat, Zaman Universiti Malaya: (1971-1972).
Kelima, Zaman Tentera: (1973-2004).
Keenam, Zaman Persaraan: (2005-hingga sekarang).

Oleh kerana abah akan menulis berpandukan ingatan semata-mata, maka memoir ini tidak akan diposting menurut chronologi. Apa yang datang dalam ingatan pada sesuatu ketika, maka itu lah cerita yang akan abah tulis. Untuk mengesan apakah yang sedang dicatatkan: lihat permulaan kata di posting. Contoh: posting ini adalah merujuk kepada Pendahuluan Memoir.

Ada ketikanya abah akan juga menulis diari. Catatan itu akan dimulakan dengan tarikh semasa. Jadi kalau nak tau kenangan abah selanjutnya, ikuti blog ini. Jangan lupa beri komen. Samada membetulkan fakta atau mungkin ada pertanyaan ingin tahu.

Untuk kali ini, lihat gambar abah ketika berumur setahun.