Tuesday, January 6, 2009

Dengarlah wahai anakku

(Ikram Khalid-Izham Khalil-Iqmal Khuzri-Izzad Khizri-Azim Azra Hazlizah)

andai bulan itu bersinar malam ini
tidak semestinya sinarnya akan kembali siang nanti
apabila siang tiba, sinar mentari pula memancar
ada kegembiraan apabila dunia kembali terang

namun, masih ramai yang sukakan malam
kerana malam itu ada bintang-bintang
yang menari di kaki langit
dan ada yang suka melihat bulan purnama

dengarlah wahai anakku
bulan tiada cahaya sendiri
itu bukan cahayanya
tapi pantulan dan pinjaman
dari terangnya mentari

dengarlah wahai anakku
nyawa yang ada pada kita
bukanlah nyawa kita sendiri
namun adalah pinjaman dari Ilahi
buat memantulkan kembali kalam Tuhan
ajaran wahyu yang diturun pada Nabimu

dengarlah wahai anakku
dunia ini begitu mencabar sekali jika kau mengetahui
ada yang terjatuh ada yang tersungkur
hanya kerana tergesa-gesa ingin memiliki bahagia
sedang kita boleh memilih untuk merancang
dan berhati-hati bila melangkah

dengarlah wahai anakku
jangan kau cuba melakukan perubahan
tatkala dirimu belum lagi berubah
hijrahlah, berjihadlah, bertaqwalah
dengan itu kau dekat dengan redha Allah

dengarlah wahai anakku
ayahmu kan pergi jauh
mungkin tidak lagi akan kembali
tapi percayalah walau bulan tidak kelihatan
masih ada bintang-bintang yang kecil menemanimu

oleh itu jangan sentiasa mencari alasan
untuk kau lari dari perjuangan
padahal kau boleh temui seribu keyakinan
bahawa Allah membuka ruang yang luas buatmu berjuang

dengarlah wahai anakku
tenangkan hati dan jiwa mudamu
kebanyakan hikmah ada dalam ketenangan.
IBN MUKHTAR
(26 Nov 2006-5 Zulkaedah 1427)
Selamat Tahun Baru
Abah

Monday, January 5, 2009

Dalam Perjalanan Balik Kampung

Isnin, 5 Jan-Temerloh. Banyak peritistiwa berlaku pada hari ini, dari pagi hingga petang. Dari Kelana Jaya, abah dan mak, bergerak jam 8.30 pagi terus ke Bentong. Setelah melepasi tol Bentong, membelok ke kiri melalui Ketari.

Di Ketari inilah banyak tersimpan memoir abah (kenangan abah) semasa bersekolah di Sulaiman Secondary School, dari form one satu hingga form five. Sampailah ambil peperiksaan MCE dan SC. Dulu-dulu bersekolah Inggeris sejak standard 4, di Sulaiman Primary School di bandar Bentong. Sementara darjah satu hingga darjah tiga di Sekolah Umum Karak. Sukacita di maklumkan seseorang telah memecah rekod pencapaian cemerlang MCE abah. Dan abah dengan sukarelanya menebus kecemerlangan itu dengan beberapa ratus RM.

Selesai urusan di Pejabat Tanah Bentong, terus ke Pejabat Juru Ukur Temerloh. Di kedua-dua tempat ini, abah dapat merasakan betapa nilai kemanusian telah terhakis sedikit demi sedikit. Penjawat-penjawat awam ini tidak henti-henti menyalahkan antara satu sama lain. Malangnya yang jadi mangsa ialah pelanggan mereka, seperti abah dan kawan abah, abang Husin dari Karak. Mahu tak mahu, kami harus berurusan dengan mereka. Tiada pilihan.

Menu tengah hari seperti biasa apabila abah dan mak balik ke Temerloh. Kemudian ke Pejabat Pos nak ambil bonus. Satu kejadian luarbiasa telah berlaku. Angka giliran mak 1529. Angka giliran yang sedang dilayan 1468. Di kaunter-1, ada dua orang berdiri. Dari tempat abah duduk, jelas kelihatan petugas itu sedang melayan seorang lelaki yang membeli cukai jalan. Sedangkan seorang wanita yang berdiri di sebelahnya berborak dengan petugas kaunter-1 itu sambil memegang buku ASB berserta borang merah.

Seketika kemudian lelaki itu beredar. Wanita itu pula menghulurkan buku ASB berserta borang merahnya. Melihat gelagat ini, abah bangun dan menerpa ke arah kaunter-1 dan bertanya:

"Apa nombor dia?"

Berkali-kali abah bertanya. Kedua-duanya wanita itu tidak menjawab. Setelah menarik nafas kecemasan, petugas itu berkata:

"Pakcik, bila nombor dipanggil, tak ada orang, pakcik datanglah!"

Tersentak abah dibuatnya. Abah kata kepadanya:

"Kamu beritau semua orang, apa yang kamu kata tadi."

Dan abah ulang beberapa kali lagi. Akhirnya kedua-dua wanita itu sepakat menyelesaikan dengan mempersilakan abah mendahului wanita dengan buku ASB berserta borang merahnya. Beres! Abah setuju. Abah juga berharap perkara ini tidak akan berulang lagi.

Sunday, January 4, 2009

Peperiksaan Modul 2 Usuluddin

Ahad, 4 Jan-Shah Alam. Hari Peperiksaan tetap menjadi salah satu hari yang sangat istimewa. Abah sangat suka mengenakan pakaian yang terbaru. Jaket dan kasut bersetokin. Dulu abah pun pernah praktikkan untuk Azim (semasa ambil peperiksaan SPM).

Masjid Negeri - Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam, menjadi tempat peperiksaan. Teringat juga, beberapa tahun dulu abah pernah belajar di masjid yang indah ini selama dua tahun. Pada masa itu kelas di adakan pada sebelah malam, dua kali seminggu. Tempat sangat selesa. Boleh tulis jawapan dalam keadaan tenang.

Alhamdulillah. Rasa-rasa boleh lepas. Tunggu sajalah keputusannya dalam beberapa bulan lagi.

Saturday, January 3, 2009

Kereta

Sabtu, 3 Jan-Kelana Jaya. Semenjak akhir tahun lepas (sekitar september 2008) dan seterusnya ke hari-hari tahun baru 2009, menjadikan abah lebih menyedari bahawa apa yang abah ucapkan dulu-dulu masih tetap teguh dimemori anak-anak. Kesan pidato, syarahan, atau leteran menjadi bahan hujahan pada hari ini. Sekurang-kurangnya mereka tetap mengenangkan keadaan mereka yang belum dapat menyuarakan apa-apa pun pada masa lampau.

Tetapi keadaan sudah berubah. Ada siaran secara langsung. Dan ada yang tidak secara langsung (melalui teman yang paling akrab). Berita tetap disampaikan juga.

Sebagaimana manusia ada memori, kereta pun begitu. Mungkin menumpang kapasiti yang ada pada memori manusia. Kerana, percayalah pada satu hari nanti, di masa hadapan akan tersebutlah memori kereta itu (melalui ungkapan manusia).

Allah Knows Best.

Wednesday, December 17, 2008

Cantiknya Akhlak Nabi

Kisah berikut telah disampaikan oleh Ustaz Sukri, ketika kuliah Magrib (17 Dis 2008):

Di sudut pasar Madinah ada seorang pengemis Yahudi buta yang setiap harinya selalu berkata kepada setiap orang yang mendekatinya, "Wahai saudaraku, jangan dekati Muhammad, dia itu orang gila, dia itu pembohong, dia itu tukang sihir, apabila kalian mendekatinya maka kalian akan dipengaruhinya".

Namun, setiap pagi Muhammad Rasulullah SAW mendatanginya dengan membawakan makanan, dan tanpa berucap sepatah kata pun Rasulullah SAW menyuapkan makanan yang dibawanya kepada pengemis itu sedangkan pengemis itu tidak mengetahui bahwa yang menyuapinya itu adalah Rasulullah SAW.

Rasulullah SAW melakukan hal ini setiap hari sampai beliau wafat. Setelah wafatnya Rasulullah SAW tidak ada lagi orang yang membawakan makanan setiap pagi kepada pengemis Yahudi buta itu.

Suatu hari sahabat terdekat Rasulullah SAW yakni Abubakar ra berkunjung ke rumah anaknya Aisyah ra yang tidak lain tidak bukan merupakan isteri Rasulullah SAW. Beliau bertanya kepada anaknya itu, "Anakku, adakah kebiasaan kekasihku yang belum aku kerjakan?".

Aisyah ra menjawab, "Wahai ayah, engkau adalah seorang ahli sunnah dan hampir tidak ada satu kebiasaannya pun yang belum ayah lakukan kecuali satu saja".

"Apakah itu?", tanya Abu Bakar ra.

"Setiap pagi Rasulullah SAW selalu pergi ke hujung pasar dengan membawakan makanan untuk seorang pengemis Yahudi buta yang ada disana ", kata Aisyah.

Keesokan harinya Abu Bakar ra pergi ke pasar dengan membawa makanan untuk diberikan kepada pengemis itu. Abu Bakar ra mendatangi pengemis itu lalu memberikan makanan itu kepadanya. Ketika Abu Bakar ra mulai menyuapinya, si pengemis marah sambil menghardik,
"Siapakah kamu ?".

Abu Bakar ra menjawab, "Aku orang yang biasa."

"Bukan! Engkau bukan orang yang biasa mendatangiku", bantah si pengemis buta itu. "Apabila ia datang kepadaku tidak susah tangan ini memegang dan tidak susah mulut ini mengunyah. Orang yang biasa mendatangiku itu selalu menyuapiku, tapi terlebih dahulu dihaluskannya makanan tersebut setelah itu diberikan padaku", pengemis itu melanjutkan perkataannya.

Abu Bakar ra tidak dapat menahan air matanya, ia menangis sambil berkata kepada pengemis itu, "Aku memang bukan orang yang biasa datang padamu. Aku adalah salah seorang dari sahabatnya, orang yang mulia itu telah tiada. Ia adalah Muhammad Rasulullah SAW".

Seketika itu juga pengemis itu pun menangis mendengar penjelasan Abu Bakar ra, dan kemudian berkata,"Benarkah demikian? Selama ini aku selalu menghinanya, memfitnahnya, ia tidak pernah memarahiku sedikitpun, ia mendatangiku dengan membawa makanan setiap pagi, ia begitu mulia.... "

Pengemis Yahudi buta tersebut akhirnya bersyahadah di hadapan Abubakar RA saat itu juga dan sejak hari itu menjadi muslim.