Tuesday, June 9, 2009

Family Day 2009:PH, U-B dan KFC

Isnin, 8 Jun-Kelana Jaya. Family Day memang waktu yang ditunggu-tunggu. Kali terakhir FD2007-Langkawi. Waktu itu semua ahli keluarga ada bersama, kecuali Iqmal. Kali ini abah tidak dapat menghimpunkan semuanya, kerana Izham, Ayu, Irdina dan Irfan berada di Kuwait. Mungkin tahun 2010, jika diizinkan Allah.

Maka untuk FD2009-OneUtama, kami benar-benar buat serba ringkas. Bermula jam 11pagi dengan 2 buah kereta kami ke OU untuk melihat-lihat kawasan sekitar. Sebenarnya inilah kali pertama emak dan abah ke sana. Tidak yang lain-lain. Sebelum ini kami merancang ke mid-valley. Semua orang pernah pergi ke sana. Malah dah kerap sangat. Tapi tidaklah pula emak dan abah.

Setelah berpusing-pusing kira-kira satu jam, terasalah lapar pulak. Sebetulnya semua dah maklum dari minggu lepas lagi. Jadi pagi-pagi lagi semua dah mengosongkan perut untuk menikmati hidangan percuma yang jarang-jarang sekali kita makan-PH. Dan Izzad menjadi sponsor kami. Maka tercapailah hajatnya untuk belanja kami makan. Dan dengan sengaja memilih hari ini, hari FD2009. Jika MARA tahu sekalipun tentulah tak marah punya. Nanti lepas degree, Izzad bayarlah balik.

Kami benar-benar mengambil masa untuk menghabiskan 1L 3R dengan 4 jenis recipe. Paling tidak satu orang makan 2 potong. Tapi sungguh menakjubkan hari ini ialah Iqmal. Dia betul-betul lapar. 5 potong lesap. Dan dialah orang terakhir berhenti mengunyah. Rupa-rupanya dia dah berkira-kira, tenaga sangat perlu untuk aktiviti berikutnya. Mungkinlah.

Selesai saja makan tengah-hari, waktu zuhur dah masuk. Dengan santainya kerana kekenyangan, kami menuju ke bilik solat. Selesai saja solat, dengan debaran yang amat sangat, maka bermulalah kejuaraan yang ditunggu-tunggu. Pertandingan 10pin-bowling antara 4pasukan plus one.

Sebelum sampainya hari pertandingan ini, masing-masing telah buat helah untuk pergi training. Abah hayun-hayun tangan aje. Buat-buat konon baling bola bowling. Perang saikologi pun tak kurang hebatnya. Masing-masing pasukan nak menang. Dan pagi tadi sempat juga tengok youtube. Ulanglah tayang beberapa kali. Sebenarnya dah lama juga abah tak pergi bowling. Cemas pun ada juga rasanya.
Keputusan sungguh mengejutkan. Memang tak disangka. Lihat sahajalah reaksi mereka. Dan lihatlah pula statistik berikut:

PasukanAhliSkorRankIndividuRankPasukan
KuningAzim24174
KuningIzzad31644
BiruAbah30052
BiruEmak32922
CoklatIqmal28761
CoklatAnna36111
HijauIkram31933
HijauAna24083
PutihDzul1479-

Apa yang diharapkan, jika pertembungan dan pertarungan berlaku lagi, masing-masing pasukan berazam dengan bersungguh-sungguh untuk menjadi juara. Bagaimana dengan pasukan dari Kuwait? Sudah bersediakah anda.

Hari yang sungguh bermakna ini di akhiri dengan makan malam tajaan pasukan yang menang. Sebenarnya Mal dan Anna memang dah nak belanja kami sebelum kemenangan mereka diketahui. Dan sangat bersesuaian pula kejuaraan memihak kepada mereka. Al-hamdulillah.

Sehingga tiba FD2010, yang akan datang, anda semua bolehlah buat perancangan untuk menjadi juara semada secara individu ataupun berpasukan. Irdina dan Irfan boleh menganggotai pasukan Putih, Insya Allah. Semoga Allah memberikan kemenangan kepada kita semua di dunia dan di akhirat.

Sunday, May 3, 2009

Zulhakimi Jadi Juara

Ahad, 3 Mei-Kelana Jaya. Abang, Ana dan Zul datang petang semalam. Sesampai saja Zul hanya sibuk dengan pingat yang dimenanginya saja. Dia dah lupa nak bawa masuk beg pakaiannya. Abang sekeluarga check-in untuk weekend ini.

Hari Sabtu lepas Zul ada sukan di Sekloah Rendah Kebangsaan Bandar Tasik Puteri 1. Dia masuk bertanding "Ambil Gula-Gula Dalam Tepung", bersama 9 rakannya yang lain. Pasukan Zul jadi juara. Syahbas dan Tahniah!

Mengikut cerita Abang, hebat jugalah rupa Zul semasa acara itu. Mana tidaknya. Tepung bertabur di sana sini. Memang begitulah pesta sukan kanak-kanak sekolah rendah.

Abah pun pernah menghadiri sukan seumpama ini. Nanti bila scanner abah dah repair abah akan scan gambar yang tersimpan. Ada berbagai aksi. Nak menanglah katakan. Ada yang isi air dalam botol. Ada yang pakaikan rakannya dengan pampers. Ada yang tarik tali.

Berkenaan dengan acara tarik tali ini, memang menyeronokkan emak. Masa itu kami di Lumut. Emaklah orang yang paling layak dinobatkan sebagai penyokong nombor satu Sekolah Rendah Kebangsaan ACS Lumut. Teriakan semangatnya menjadikan pasukan Azim yang terikat dengan mata seri 1-1 itu menang dengan menyakinkan pada set terakhir. Sebab itulah kami sentiasa teringatkan bandar Lumut yang penuh dengan kenangan, walaupun kami hanya tinggal sekadar 2 tahun sahaja di sana.

Kami berharap satu hari nanti, kami akan kembali mengujungi bandar Lumut dan kawan-kawan yang masih ada di sana. Insya Allah.

Monday, February 16, 2009

Seronok, Gembira dan Ceria

Ahad, 15 Feb-Serdang Raya. Sabtu dan Ahad abah ada tutorial kali ke-3. Kali ini sungguh berbeza. Abah dapat rasakan majoriti kekawan setutorial telah mula menerima warga emas untuk sama-sama belajar bersama mereka. Tambahan pula semua tutor bersikap sangat-sangat professional. Abah tidak berasa janggal lagi, walaupun jauh disudut hati masih ada sikit-sikit macam "out-of-place".

Pagi Sabtu tu abah tiba awal dari biasa, maklumlah masih mengekalkan semangat berkobar-kobar. Pintu besar untuk naik ke aras bilik tutorial masih bermangga. Belum dibuka. Kenalah tunggu beramai-ramai didepan tangga. Kemudian muncul kekawan abah, 2 orang budak perempuan India.

"Apa you dah buat...?" Tanya kedua-duanya. Abah pun terkejut, "Apa I dah buat...?"

"Dalam forum Madam ... your posting kata you don't mean to be cynical... haa... apa you dah buat?" Ulang mereka berdua. Ohh barulah abah teringat. Sebenarnya abah telah hantar email ke madam tutor. Dan memintanya memberikan komen terhadap deraf assignment abah. Di hujung komennya madam tu kata:

"the conslusion is a bit synical. "thanks to internet...." and yet we do have a software that can detect plygiarism."

Abah tak edit sedikit pun tulisan madam tu. Itulah apa yang dia komen tentang deraf "Plagiarism:..." abah.

Seram juga pagi itu abah masuk kelas. Bimbangkan madam tutor tu belasah abah cukup-cukup kerana tulisan "cynical" assignment abah tu. Tekaan abah nyata meleset. Bukan marah, bahkan macam memuji pula cara abah approach menyiapkan assignmnet itu.

"I like your method. That's how matured student approach the assignment." kata madam tutor. Tambahnya lagi, dia hendak jadikan contoh deraf abah sebagai satu metodologi persediaan assignment. Legaaa...

Tetapi abah tau. Jangan lebih-lebih perasan. Result belum keluar lagi. Harap-harap boleh dapat markah yang luar biasa baik.

Balik dari tutorial tengah hari itu, barulah abah ternampak bunga kertas yang sedang kembang. Selama ini tak terpandang pun. Asyik ingatkan assignment...assignment... dan assignment. Harap-harap minggu-minggu tutorial yang akan datang lebih menyeronokkan, lebih mengembirakan dan lebih menceriakan.

Saturday, February 7, 2009

Zulhakimi Di Mana...

Sabtu, 7 Feb-Tasik Puteri. Sejak awal minggu ini lagi abah dan mak telah merancang untuk tidur di rumah abang di Tasik Puteri. Kami dapat tahu kawan-kawan sejiranan abang hendak membuat majlis makan-makan. Ini mungkin peluang yang baik untuk berkenalan dengan jiran-jiran Abang, Ana dan Zul. Di samping makan-makan.

Petang Jumaat itu zul ada telefon neneknya. Jadi mak membenarkanlah bahawa abang-abah zul-ada ajak nenek zul datang ke Tasik Puteri. Walaupun selepas itu kami dapat tahu majlis makan-makan itu sebenarnya diajurkan pada hari Ahad malam Isnin, kami tetap juga pergi. Janji mesti ditepati. Malangnya kami hanya boleh tidur satu malam saja kerana mak ada program muslimat di KJ pada hari Ahad jam 10 pagi.

Selepas Asar petang Sabtu, kami bertolak ke Tasik Puteri. Sepanjang perjalanan 40 minit itu, kami mengenang kembali bagaimana abah telah memperdayakan abang untuk membeli rumah di Tasik Puteri. Masa itu abah baru saja posting dari Lumut ke Subang. Abah memang gembira abang bersetuju dengan cadangan abah. Bagaimana perasaan abang ketika itu? Abah pun tak tahu.

Rumah abang di tingkat 2. Kena naik tangga jugalah. Tapi yang abah hairannya, kenapa tangganya tidak sama jumlahnya. Dari bawah ke tingkat satu ada 4 hingga 6 mata tangga. Manakala dari tingkat satu ke tingkat dua ada 8 hingga 9 mata tangga. Pelik juga.

Ana sediakan untuk kami minum petang. Zul bermain basikal di bawah. Lepas minum abah turun melihat Zul. Hampir jam 7 petang baru abah naik.

Magrib dan Isyak, abah dan mak solat di bilik Zul. Selepas Isyak baru kami makan malam. Tak lama lepas tu mata Zul dah pejam. Sambil duduk pulak tu! Atas permintaan Zul, abah dan mak dan Zul tidur ditengah rumah depan TV. Jam 11 lampu pun dipadamkan.

Lapan tahun dulu masa abang beli rumah ini, Tasik Puteri mempunyai pelan pembangunan yang sangat menakjubkan abah. Sebab itulah abah telah merekomenkan (secara tidak ada pilihan) abang membeli rumah ini. Kemudian keadaan berubah. Pembangunan tidak seperti yang dirancangkan. Masa pun terus berlalu. Abang pun telah buat keputusan, pada tahun lepas, untuk berpindah ke sini.

Untuk menyatakan sokongan, abah dan mak tolong abang dan ana mengecat rumah mereka. Boleh tahan juga kerjanya. Alhamdulillah, dapat juga kami bereskan dalam masa satu hari. Itu pun setelah membuat beberapa perancangan awal.

Sebelum Subuh, mak dah bangun. Tidak lama kemudian, kedengaran ana sibuk didapur menyediakan sarapan pagi. Dan menjadi kebiasaanlah zul yang paling lambat dan paling payah bangun. Setelah berbagai ugutan barulah celek matanya.

Pagi Ahad kami sarapan western. Sosej, omelet, fries dan bread. Jam 8 pagi kami bertolak ke KJ...

Monday, February 2, 2009

Ayam, Itik dan Puyuh

Isnin, 2 Feb-Kampung Datuk Sharif. Waktu balik kampung sangat-sangat bermakna bagi emak dan abah. Masa kan tidak? Kami dilahir dan dibesarkan di kampung. Lainlah dengan orang yang dilahirkan di kampung, tetapi dibesarkan di KJ.

Inilah rutin bulanan abah. Balik jumpa tok. Itu keutamaan. Disamping tanggungjawab lain yang perlu dibereskan. Pada kali ini dapatlah abah membayar cukai pintu rumah di Temerloh Jaya.

Lepas itu, sekali lagi kami mengunjungi Pejabat Pos, setelah bulan lepas. Kali ini, lain pun ceritanya. Orang masih ramai. Hanya 2 kauter daripada 4 yang dibuka. Hampir sejam menunggu, abah pun ambillah kertas dari peti cadangan untuk buat aduan. Rupa-rupanya ada juga pelanggan turut serta nak buat aduan. Dalam pada itu hati abah tertanya-tanya juga, bilalah PR pejabat pos ini nak baca aduan kami. Abah nampak dalam peti cadangan itu dah banyak kertas.

Sebelum meneruskan perjalanan ke kampung, kami singgah dulu kat TF. Emak beli sayur, buah dan ikan. Abah pula dapatlah menambahkan koleksi batik. Kali ini warna merah. Hampir jam 2 petang kami meneruskan perjalanan.

Kami bertembung dengan tok dekat masjid. Katanya dia hendak pergi ke kedai, sebelum bermulanya kelas pengajian di Masjid. Di rumah ada Cu Na seorang tengah tengok TV. Sebentar kemudian datang Ami Lat dan Cu Bahari, dari Temerloh.

Sepanjang petang itu, kami berbual dan berbual. Macam-macam tajuk. Dari Malaysia hingga ke Palestine. Dari kisah cucu-cicit hingga ke datuk-nenek. Dari tanaman hingga ke ternakan. Riang, rancak dan kadang-kadang berbeza pendapat.

Cu Na kini sedang berternak ayam, itik dan puyuh. Hampir saja setiap jam, dia mengutip telur puyuh. Menjelang senja, mak dah dapat 21 biji untuk dibawa pulang.

Sebenarnya sejak tiba tengah hari itu, abah dah mendesak emak nak minum air kelapa. Akhirnya berjaya juga. Ami Lat lah yang memang jaguh pokok kelapa menyelamatkan keadaan. Abah minta Syafikah membeli ketul ais.

Hari Selasa, kami bertolak pulang Ke KJ. Sedih dan pilu meninggalkan kampung halaman. Sebab itulah dulu, sebelum abah bersara, abah dah beli rumah dekat TJ. Konon-konon nak balik dekat dengan kampung bila bersara. Itulah yang semua orang lain buat. Tetapi tak ada masalah sebenarnya. Selagi abah boleh balik mengujungi tok setiap bulan, abah gembira tinggal di KJ.

Dalam perjalanan pulang, abah singgah di Karak Setia, menziarahi Aki dan Wan, ayah dan emak abah. Membacakan sedikit doa yang abah tahu. Semoga mereka dicucuri rahmat Allah dan termasuk di dalam golongan orang-orang soleh dan solehah. Abah berharap anak-anak abah nanti, dapat berbuat yang serupa.

Kami bertemu Andak Basariah di situ. Sedang membersihkan tanaman serai, nenas dan pisang. Emak berbual-bual seketika, sambil-sambil memetik terung manggur untuk buat ulam. Mungkin juga sambil tumis. Sedap-p-p-p.

Kami terus pulang...

Thursday, January 22, 2009

Dari Karak ke East Sale

Zaman Tentera. Sekitar Disember 1975. Karak semua orang tahu. Tetapi East Sale di mana? Kalau disebut perkara-perkara yang sewaktu dengannya seperti Sydney atau University of Ballarat, tentu ramai yang tahu. Di East Sale abah belajar untuk menjadi seorang Jurumalim dengan Royal Australian Air Force.

Sebelum ke East Sale, semua pelajar luar negara dimestikan buat kursus Bahasa Inggeris di Point Cook. Jadi, perjalanan abah dari Kuala Lumpur naik KTM ke Butterworth. Tidur satu malam. Dari Butterworth naik C-130 ke Darwin, Northern Territory. Tidur lagi satu malam. Dari Darwin dengan C-130 juga terus ke Point Cook, Victoria. Kira-kira 3 hari 2 malam baru sampai ke Point Cook.

Bulan Disember adalah musim panas di Australia. Mereka yang kata panas, tetapi bagi abah sejuk semacam aja. Dan hampir kesemua anggota RAAF bercuti krismas. Biasanya mereka bercuti satu bulan untuk menyambut krismas. Yang tinggal dalam base hanyalah beberapa orang yang bertugas untuk menjaga keselamatan. Sunyi sepi.

Abah datang dari Malaysia bersama seorang rakan, Norizan untuk buat kursus yang sama. Kawan abah ini seorang pegawai lelaki dari Perlis. Kami ditempatkan di Mes Pegawai. Tetapi kena pergi makan kat Mes Lain-Lain Pangkat. Di Mes tempat kami tinggal tiada tukang masak. Mereka semuanya bercuti. Dalam musim panas bulan Disember itulah kami kesejukan berulang alik untuk mencari sesuap roti. Sebabnya Mat Saleh ni jarang-jarang makan nasi.

Setelah tamat kursus Bahasa Inggeris di Point Cook barulah abah dan rakan abah pergi ke East Sale, Victoria. Dari Point Cook kami naik kereta api ke East Sale. Di stesen kereta api East Sale, seorang pegawai RAAF, kapten Dave, sudah menunggu. Kami pun saling memperkenalkan diri. Kali ini kami dah boleh sikit-sikit cakap loghat Australia. Maklumlah dah sebulan kami di perantauan.

Dave ini ada kereta sport warna kuning. Dia pun hantar kami ke Mes Pegawai dengan kereta kuningnya yang tidak berbumbung. Angin musim panas di sini masih dingin. Peliknya si dave ini berseluar pendek saja. Pakaian seragam musim panas.

Esoknya bermulalah kehidupan kami sebagai pelajar di School of Air Navigation RAAF East Sale. Kami mendaftar di dalam kursus No. 50 Navigator Course yang dikenali sehingga sekarang sebagai "The Wizards". Logo kelas kami masih tergantung di School of Air Navigation RAAF East Sale. Dalam kelas abah ada 10 orang. Dua Melayu lapan Mat Saleh.

Tetapi abah asyik teringatkan mak di kampung. Macam ada satu tekanan yang sangat-sangat berat untuk dipikul. Rupanya kawan abah ini pun sama sahaja. Dia pun sangat-sangat tertekan kerana rindukan kampung halaman. Jadi nampaknya kami sama-sama tertekan. Tetapi kesannya sangat berbeza...

Tuesday, January 20, 2009

Memoir: Membina Pengalaman


Pendahuluan Memoir. Bukan senang menulis Memoir-Kenangan. Tetapi cita-cita yang lama terpendam perlu diteruskan juga. Kerana dulu-dulu tak pernah menulis diari. Bagaimana nak mengorek balik kenangan lama. Kenangan memang banyak. Bayangkan berapa banyak kenangan yang abah simpan sejak tahun kelahiran 1951 hingga sekarang dalam tahun persaraan 2009. Jadi berpandukan ingatan yang masih ada, walaupun dah semakin tak berapa segar, abah usahkan memoir ini.

Kenangan abah ini akan dibahagikan kepada beberapa kumpulan waktu:

Pertama, Zaman Kanak-Kanak: (1951-1956).
Kedua, Zaman Sekolah Rendah: (1957-1963).
Ketiga, Zaman Sekolah Menengah: (1964-1970).
Keempat, Zaman Universiti Malaya: (1971-1972).
Kelima, Zaman Tentera: (1973-2004).
Keenam, Zaman Persaraan: (2005-hingga sekarang).

Oleh kerana abah akan menulis berpandukan ingatan semata-mata, maka memoir ini tidak akan diposting menurut chronologi. Apa yang datang dalam ingatan pada sesuatu ketika, maka itu lah cerita yang akan abah tulis. Untuk mengesan apakah yang sedang dicatatkan: lihat permulaan kata di posting. Contoh: posting ini adalah merujuk kepada Pendahuluan Memoir.

Ada ketikanya abah akan juga menulis diari. Catatan itu akan dimulakan dengan tarikh semasa. Jadi kalau nak tau kenangan abah selanjutnya, ikuti blog ini. Jangan lupa beri komen. Samada membetulkan fakta atau mungkin ada pertanyaan ingin tahu.

Untuk kali ini, lihat gambar abah ketika berumur setahun.

S.O.S.

Selasa, 20 Jan-Kelana Jaya. Petang ini abah merasa lega sedikit. Setelah 24 jam abah hantar SOS, dalam keadaan yang sangat-sangat mengharapkan. Walaupun belum dapat mendengar suara yang dirindukan, sms abah sudah berbalas. Terima kasih atas usaha semua. Terima kasih.

Seperti semalam, hari ini abah cuba menyiapkan sepertiga bahagian 2 powperpoint untuk matapelajaran Ulum al-Quran. Duapertiga bahagian lagi akan disiapkan oleh 2 orang rakan se-tutorial. Harap-harap mereka dapat meluangkan masa. Maklum sahaja orang berkerja. Tak seperti abah-dah pencen.

Dalam pada itu, buka forum lagi. Tengok gmail tutor dan coursemate. Balas komen mereka. Hantar soalan. Buka jawapan. Rasa-rasa macam tak nak pitam. Betul-betul kena telan, bukan satu tetapi tiga dos manual.

Apa yang berlaku sekarang sangat-sangat berbeza. Belajar cara kuliah dengan belajar cara tutorial macam langit dengan bumi. Dalam kuliah, abah dengar. Dalam tutorial, pensyarah-tutor yang menjadi pendengar. Kawan-kawan coursemate ini pun belum tahu lagi perangai mereka. Kalau ada yang mengada-ngada tanya yang bukan-bukan, berpeluh nak jawab nanti.

Itulah yang abah selalu fikirkan sekarang. Dalam umur warga emas ini, abah masih memburu ilmu. Masih mencari peluang untuk memperbaiki diri. Kalau abah tak mulakan sekarang lambat laun abah akan sampai juga ke OUM.

Emak memang sudah sangat mahir dengan perangai abah. Sebelum ini abah ada bertanya pada mak, apakah patut abah mendaftar untuk mengikuti BIS. Dia kata abah tak akan berhenti mencari tempat untuk belajar. Sekarang atau akan datang abah tentu bertemu dengan OUM. Itulah sebabnya abah pun buat keputusan daftar sekarang sebelum abah menjadi warga berlian.

Itu abah. Masa kalian bersekolah dulu, abah tentukan dimana sekolahnya. Setelah agak pandai memilih, ada juga permintaan yang abah tak tunaikan. Sekarang ni datang juga sesalan di hati abah. Masa itu abah beranggapan pilihan abah yang terbaik. Ditambah pula dengan kekangan kewangan yang terhad, itulah yang termampu. Hari ini abah lebih mampu dari dulu. Waktu pencen begini Allah kurniakan rezeki yang banyak. Pencen pun dapat kenaikan juga. Maka abah berharap sangat sesiapa yang abah tawarkan pembiayaan carilah kesesuaian masa.

Untuk kali ini lihatlah gambar 3 jejaka abah. Lama tak ada adik kecil. Yang keempat bakal menyusul. Lihat perubahan pada mereka dewasa ini seperti yang kita semua kenali.

Sunday, January 18, 2009

Matlamat Jangka Pendek, Matlamat Jangka Panjang

Ahad, 18 Jan-Kelana Jaya. Satu hari suntuk abah dalam kesedihan yang amat sangat. Sebelum breakfirst lagi abah dah menitiskan air mata. Kenangan hari semalam banyak meninsafi abah akan peristiwa di masa lampau.

Masa tu abah bersama iqmal dan izzad pulang dari Alor Setar ke Lumut dalam bulan Ramadan. Emak dan azim menunggu di rumah sewa kami di Taman Samudera. Sepanjang perjalanan itu abah menangis. Kesian ada, marah pun ada. Sehingga hari ini abah tidak dapat melupakan peristiwa itu.

Tetapi semalam berbeza. Abah tahu, abah akan kembali ke SRLC, untuk menyempurnakan tutorial sehingga tamat pengajian BIS walaupun mengambil masa 5 tahun. Berbanding ketika abah meninggalkan Alor Setar, abah juga tahu abah tidak mungkin lagi menjejakkan kaki ke sana lagi. Masa terus juga berlalu. Dengan takdir Allah, walaupun abah tiba lewat daripada yang lain, abah sampai juga akhirnya ke Alor Setar. Dalam tahun 2008 saja, sudah dua kali. Alhamdulillah. Abah sangat-sangat bersyukur dengan kurnian Allah ini.

Sejak daripada peristiwa di bulan yang mulia itu, sehinggalah ke hari ini, abah tetap berusaha untuk memulihkan dan memupuk semangat perjuangan di antara kita. Kerana abah pasti semua orang tahu apa yang telah terjadi ketika itu. Mungkin masanya belum tiba lagi untuk membuat perubahan. Abah tetap berdoa dan berdoa. Kini peristiwa di bulan mulia itu bukan saja suatu kesedihan, tetapi sudah menjadi sesuatu yang sensitif. Jadi, berjaga-jagalah dengan kata-kata.

Apa yang ada dalam fikiran abah sekarang ini ialah: apakah abah dah menjadikan kepentingan peribadi lebih utama daripada kepentingan orang lain yang lebih berhak. Abah dah fikirkan perkara ini sebelum mendaftar di OUM. Maka itulah abah telah sediakan sedikit dana jika desakan abah itu berjaya dilakukan pada bila-bila masa. Fikir-fikirkan lah.

Akhirnya, kesedihan abah ini sedikit terubat dengan kehadiran ustaz abah dari Jabatan Usuluddin, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya. Ustaz Anuar Ridwan memberikan ceramah selepas Magrib dengan tajuk "Ibadat dan adat". Hujahnya berkisar sekitar sambutan bulan Muharram. Kupusannya sangat berkesan di hati pendengar. Mungkin pada masa akan datang, abah akan berikan sedikit intipati ceramah ustaz ini.

Sebelum tu, lihatlah gambar abah di satu lokasi di Perlis pada tahun 1994. Yang tak ada dalam gambar tu, jadi cameraman.

Saturday, January 17, 2009

Memang Tercabar

Sabtu, 17 Jan-Serdang Raya. Jam baru 7.15 pagi, dah tak sabar lagi nak masuk kelas. Keluar dari rumah melalui "jambatan pulau pinang" terus ke Serdang Raya. Jalan ini lebih dekat dan pantas. Berbanding ikut Highway KL-Seremban. Hanya kenalah tol RM3.20 pergi-balik.

Sampai saja ke SRLC, dah ramai learners (panggilan untuk OUM Students). Nasib baik parking dekat dengan bangunan tutorial. Taklah kena jalan jauh. Tapinya tutorial kat tinggat 2 dan 3. Bersesak juga kerana tangganya amatlah sempit. Dah tu ada pulak learners yang besar-besar. Besar daripada abah lah tu. Alhamdulillah abah sudah berada di dalam tutorial BIS.

Tutorial pertama subjek ODL=Open and Distance Learners. Tutornya Mdm Faezah. Ada Degree dan Master dalam TESL. Sekarang tengah buat Phd. Terasa macam out of place. Tutor dan learners yang lain tu macam anak-anak. Ada pula seorang pakcik ni masuk nak buat degree juga. Dah tu Mdm tu punyalah nyaring suaranya, tak padan dengan badannya yang kecik.

Sampai masa nak "break the ice". Mdm itu suruh ambil nama, panggilan mesra, kursus, dan no telefon 19 learners yang sama-sama dalam kelas tu. Apa lagi abah pun sama-sama macam learners tu. Ke sana ke sini, memungut nama-nama. Setelah tamat waktu yang diberi, abah dapatlah 12 nama. Paling banyak 18 nama dan paling kurang 10 nama. Kesian 2 orang learners yang dapat hanya 10 nama itu kena denda. Bayangkan kalau abah yang kena.

Tutorial kedua subjek Malaysian Studies. Tutornya Mdm Kok Ah Moy. Jangan salah sangka. Mdm ni kata dia sangat beruntung kerana bapanya berikan nama "Ah Moy". Dah tua pun masih digelar "Ah Moy".

Di sini adalah seorang kawan pakcik-pakcik. Muda setahun dari abah. Cucunya baru satu. Yang lain tu semua learners bukan seangkatan. Tapi tak apa. Semangat tetap membara. Tambah pula Mdm Ah Moy sangat kagum dengan learners yang ada cucu (tiga bukan satu), pun masih mahu mencari ilmu.

Tutorial Ketiga subjek Ulum Al-Quran. Tutornya Ustaz Wan Muhammad Ubaidillah. Learners-nya sama dengan dalam tutorial kedua. Di sinilah abah berasa sangat sangat selesa. Subjek yang menjadi kegemaran dan sebab mengapa abah belajar kat SRLC ni.

Banyak lagi kenangan berlaku di hari pertama ini. Insya Allah akan abah catatkan dengan detilnya. Kerana ia adalah kenangan yang sangat sangat abah tidak mahu melupakan. Seram ada, ngeri ada, sedih ada, dan gembira pun ada. Semua perkataan itu memberi makna yang sangat menusuk di hati abah.

Dalam perjalanan balik dari SRLC ketika hampir jam 3 petang itu, air mata abah berlinangan tanpa henti. Macam-macam yang abah kenangkan. Untuk kali ini, lihatlah dan bezakan yang mana satu gambar abah ketika di tingkatan satu dan ketika di tingkatan lima.

Monday, January 12, 2009

Bachelor in Islamic Studies (Islamic Management) with Honours

Isnin, 12 Jan-Serdang Jaya. Hari ini abah ajak Izzad cari lokasi Serdang Raya Learning Centre (SRLC). Ikut Federal Highway. Dekat MidValley simpang kiri menuju ke KL-Seremban Highway. Sebelum Tol Sungai Besi belok kiri. Tersasar juga sehingga terlepas ke Technology Park. Terpaksalah tanya guard Technology Park itu minta panduan. Izzad kata, nasib baik juga guard tu Melayu, bukan Bangla. Simpang ke SRLC sebenarnya dekan dengan Astro.

Akhirnya sampailah ke SRLC. Aduh! First impression, orang kata, tak menakjubkan. Bangunannya sebahagian daripada rumah kedai. Biasalah hari ini, di mana-mana ada U. Dekat giant KJ pun ada UNITAR. Bangunan biasa-biasa. Semasa abah ajukan kepada azim dulu belajar kat KJ, katanya tak macam U pun. U mesti ada kampus, seperti UUM kat US. Tapi abah tak kisah. Hati dah terpaut dengan BIS. Nak buat macam mana lagi. Sabar-sabarlah tunggu 15 semester.

Di SRLC abah jumpa Syikin. Banyak jugalah abah tanya. Tentang jadual tutorial. Tentang bilik tutorial. Tentang parking kereta. Tentang jalan alternative ke SRLC. Syikin kata, ikut saja Federal Highway tu, lebih mudah berbanding dengan jalan melalui Kinrara. Entahlah. Abah rasa nak cuba jalan Kinrara dulu. Baru boleh buat perbandingan. Sebelum balik, sabah sempat juga kompelen. Peta yang disediakan kat MyLMS (nanti lain kali abah ceritakan tentang MyLMS) itu tidak tepat. Itu yang menyebabkan kami sesat dan tersasar.

Bagi peminat dan pengemar ilmu, bolehlah ke Islamic Studies (Management) untuk mengetahui apa yang abah akan belajar nanti. Abah ambil 3 subject untuk Semester Januari: Ulum Al-Quran, Learning Skills for Open and Distance Learners (LSfOaDL), dan Pengajian Malaysia. Tutorial akan bermula Sabtu 17 Januari, Insya Allah. Doakan abah berjaya dengan cemerlang.

Sunday, January 11, 2009

Peperiksaan Modul 3 SPAQ

Ahad, 11 Jan-Kuala Lumpur. Semalam dan hari ini, abah telah melalui perperiksaan 4 mata pelajaran dalam program Sijil Pengajian Al-Quran (SPAQ)-(1)Bahasa Arab III (2)Al-Quran dan Pembinaan Masyarakat (3)Tajwid dan Tilawah Al-Quran III, dan (4)Ayat Ahkam I.

Alhamdulillah, rasa-rasa boleh lepas juga kali ini. Walaupun sangat mencabar. Namun ada 3 modul lagi-Modul 4, Modul 5 dan Modul Talaqqi. Kira-kira boleh tamat dalam bulan Julai 2010. Insya Allah.

Universiti Malaya (UM) memang banyak kenangan. Buat masa ini, abah ceritakan yang enak-enak dulu. Nantilah bila dah agak berani sikit, bolehlah abah ceritakan kategori yang satu lagi tu! Yang enak-enak ini semuanya berlaku di Akademi Pengajian Islam (APIUM).

Lihatlah pencapaian abah di APIUM.

Julai 1996-Sijil Pengajian Syariah Modul 1
Januari 1997-Sijil Pengajian Awam Modul 2 Syariah
Julai 1997-Sijil Pengajian Awam Modul 3 Syariah

September 2004-Diploma Pengajian Syariah (Lulus Dengan Kepujian)
Disember 2007-Sijil Perancangan Kewangan Islam

Sijil yang terakhir itu telah disponsor oleh "seseorang yang telah memecah rekod pencapaian cemerlang MCE abah." Dan ada beberapa Sijil lagi yang diperolehi di beberapa institusi yang berlainan. Bila tiba masa dan ketikanya abah akan catatkan.

Thursday, January 8, 2009

Menu oh menu

Khamis, 8 Jan-Kelana Jaya. Semalam (10 Muharram) dan hari ini, mak puasa. Abah tidak - sebab sedang buat persediaan untuk satu lagi peperiksaan pada hari Sabtu dan Ahad ini. Ya, dua hari berturut-turut, pagi-petang, pagi-petang. Izzad pula ada exam dan keluar awal, walaupun exam itu pada jam 2 petang.

Sebelum mak pergi ke suatu majlis khatam al-Quran, abah makan tengah hari. Tentulah mak sediakan. Dan temankan. Abah tak kompelen. Hanya terkenang masa bujang dulu. Konon-konon nak masak kari telor.

Masa itu abah tinggal dengan bapa saudara sebelah emak abah di Sentul. Hari itu bapa saudara abah ini keluar kerja. Isteri dan anak angkatnya keluar ke Kuala Lumpur. Tinggallah abah keseorangan. Nak dijadikan cerita, teringin sangat nak makan kari telor. Memanglah tak menjadi. Resepinya tak cukup bahan: Air, kari, dan telor. Bertambah malang lagi, masakan kari telor abah itu diketahui oleh bapa saudara abah. Tak sempat nak habiskan. Tiba-tiba sahaja bapa saudara abah muncul di depan rumah.

Lepas hari itu, cerita kari telor ini tersebar luas. Dari Sentul ke Karak.

Tuesday, January 6, 2009

Dengarlah wahai anakku

(Ikram Khalid-Izham Khalil-Iqmal Khuzri-Izzad Khizri-Azim Azra Hazlizah)

andai bulan itu bersinar malam ini
tidak semestinya sinarnya akan kembali siang nanti
apabila siang tiba, sinar mentari pula memancar
ada kegembiraan apabila dunia kembali terang

namun, masih ramai yang sukakan malam
kerana malam itu ada bintang-bintang
yang menari di kaki langit
dan ada yang suka melihat bulan purnama

dengarlah wahai anakku
bulan tiada cahaya sendiri
itu bukan cahayanya
tapi pantulan dan pinjaman
dari terangnya mentari

dengarlah wahai anakku
nyawa yang ada pada kita
bukanlah nyawa kita sendiri
namun adalah pinjaman dari Ilahi
buat memantulkan kembali kalam Tuhan
ajaran wahyu yang diturun pada Nabimu

dengarlah wahai anakku
dunia ini begitu mencabar sekali jika kau mengetahui
ada yang terjatuh ada yang tersungkur
hanya kerana tergesa-gesa ingin memiliki bahagia
sedang kita boleh memilih untuk merancang
dan berhati-hati bila melangkah

dengarlah wahai anakku
jangan kau cuba melakukan perubahan
tatkala dirimu belum lagi berubah
hijrahlah, berjihadlah, bertaqwalah
dengan itu kau dekat dengan redha Allah

dengarlah wahai anakku
ayahmu kan pergi jauh
mungkin tidak lagi akan kembali
tapi percayalah walau bulan tidak kelihatan
masih ada bintang-bintang yang kecil menemanimu

oleh itu jangan sentiasa mencari alasan
untuk kau lari dari perjuangan
padahal kau boleh temui seribu keyakinan
bahawa Allah membuka ruang yang luas buatmu berjuang

dengarlah wahai anakku
tenangkan hati dan jiwa mudamu
kebanyakan hikmah ada dalam ketenangan.
IBN MUKHTAR
(26 Nov 2006-5 Zulkaedah 1427)
Selamat Tahun Baru
Abah

Monday, January 5, 2009

Dalam Perjalanan Balik Kampung

Isnin, 5 Jan-Temerloh. Banyak peritistiwa berlaku pada hari ini, dari pagi hingga petang. Dari Kelana Jaya, abah dan mak, bergerak jam 8.30 pagi terus ke Bentong. Setelah melepasi tol Bentong, membelok ke kiri melalui Ketari.

Di Ketari inilah banyak tersimpan memoir abah (kenangan abah) semasa bersekolah di Sulaiman Secondary School, dari form one satu hingga form five. Sampailah ambil peperiksaan MCE dan SC. Dulu-dulu bersekolah Inggeris sejak standard 4, di Sulaiman Primary School di bandar Bentong. Sementara darjah satu hingga darjah tiga di Sekolah Umum Karak. Sukacita di maklumkan seseorang telah memecah rekod pencapaian cemerlang MCE abah. Dan abah dengan sukarelanya menebus kecemerlangan itu dengan beberapa ratus RM.

Selesai urusan di Pejabat Tanah Bentong, terus ke Pejabat Juru Ukur Temerloh. Di kedua-dua tempat ini, abah dapat merasakan betapa nilai kemanusian telah terhakis sedikit demi sedikit. Penjawat-penjawat awam ini tidak henti-henti menyalahkan antara satu sama lain. Malangnya yang jadi mangsa ialah pelanggan mereka, seperti abah dan kawan abah, abang Husin dari Karak. Mahu tak mahu, kami harus berurusan dengan mereka. Tiada pilihan.

Menu tengah hari seperti biasa apabila abah dan mak balik ke Temerloh. Kemudian ke Pejabat Pos nak ambil bonus. Satu kejadian luarbiasa telah berlaku. Angka giliran mak 1529. Angka giliran yang sedang dilayan 1468. Di kaunter-1, ada dua orang berdiri. Dari tempat abah duduk, jelas kelihatan petugas itu sedang melayan seorang lelaki yang membeli cukai jalan. Sedangkan seorang wanita yang berdiri di sebelahnya berborak dengan petugas kaunter-1 itu sambil memegang buku ASB berserta borang merah.

Seketika kemudian lelaki itu beredar. Wanita itu pula menghulurkan buku ASB berserta borang merahnya. Melihat gelagat ini, abah bangun dan menerpa ke arah kaunter-1 dan bertanya:

"Apa nombor dia?"

Berkali-kali abah bertanya. Kedua-duanya wanita itu tidak menjawab. Setelah menarik nafas kecemasan, petugas itu berkata:

"Pakcik, bila nombor dipanggil, tak ada orang, pakcik datanglah!"

Tersentak abah dibuatnya. Abah kata kepadanya:

"Kamu beritau semua orang, apa yang kamu kata tadi."

Dan abah ulang beberapa kali lagi. Akhirnya kedua-dua wanita itu sepakat menyelesaikan dengan mempersilakan abah mendahului wanita dengan buku ASB berserta borang merahnya. Beres! Abah setuju. Abah juga berharap perkara ini tidak akan berulang lagi.

Sunday, January 4, 2009

Peperiksaan Modul 2 Usuluddin

Ahad, 4 Jan-Shah Alam. Hari Peperiksaan tetap menjadi salah satu hari yang sangat istimewa. Abah sangat suka mengenakan pakaian yang terbaru. Jaket dan kasut bersetokin. Dulu abah pun pernah praktikkan untuk Azim (semasa ambil peperiksaan SPM).

Masjid Negeri - Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam, menjadi tempat peperiksaan. Teringat juga, beberapa tahun dulu abah pernah belajar di masjid yang indah ini selama dua tahun. Pada masa itu kelas di adakan pada sebelah malam, dua kali seminggu. Tempat sangat selesa. Boleh tulis jawapan dalam keadaan tenang.

Alhamdulillah. Rasa-rasa boleh lepas. Tunggu sajalah keputusannya dalam beberapa bulan lagi.

Saturday, January 3, 2009

Kereta

Sabtu, 3 Jan-Kelana Jaya. Semenjak akhir tahun lepas (sekitar september 2008) dan seterusnya ke hari-hari tahun baru 2009, menjadikan abah lebih menyedari bahawa apa yang abah ucapkan dulu-dulu masih tetap teguh dimemori anak-anak. Kesan pidato, syarahan, atau leteran menjadi bahan hujahan pada hari ini. Sekurang-kurangnya mereka tetap mengenangkan keadaan mereka yang belum dapat menyuarakan apa-apa pun pada masa lampau.

Tetapi keadaan sudah berubah. Ada siaran secara langsung. Dan ada yang tidak secara langsung (melalui teman yang paling akrab). Berita tetap disampaikan juga.

Sebagaimana manusia ada memori, kereta pun begitu. Mungkin menumpang kapasiti yang ada pada memori manusia. Kerana, percayalah pada satu hari nanti, di masa hadapan akan tersebutlah memori kereta itu (melalui ungkapan manusia).

Allah Knows Best.